

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan SELAMAT DATANG ke laman web rasmi Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Laman web ini merupakan satu gerbang maklumat mengenai INFRA dan perkhidmatan yang disediakan kepada kumpulan sasar iaitu pemimpin institusi desa, golongan wanita dan belia luar bandar, usahawan luar bandar, agen pengembangan dan pihak-pihak berkepentingan dalam pembangunan luar bandar, sama ada dari dalam dan luar negara.
INFRA yang ditubuhkan dalam tahun 1996 adalah institusi latihan di bawah KPLB dan telah diberikan mandat yang besar dalam memastikan keperluan latihan kumpulan sasar dalam pelbagai niche pembangunan luar bandar antaranya seperti kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran desa dan keusahawanan.
INFRA mengorak satu langkah ke hadapan pada tahun 1998 dengan menawarkan program latihan mengggunakan pendekatan perkongsian pengalaman dalam aspek pembasmian kemiskinan melalui jalinan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti African-Asian Rural Development Organisation (AARDO), Centre onIntegrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP), Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Sekretariat Komanwel (COMSEC). Latihan diberikan kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam pembangunan luar bandar dari negara-negara yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan tersebut. Selain dari itu, INFRA turut menawarkan program latihan bagi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme – MTCP) kepada negara-negara sedang membangun yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia di bawah Kerjasama Selatan-Selatan.
Selain dari latihan, INFRA juga berperanan untuk menghasilkan penyelidikan dan kajian serta menjadi urus setia induk pelaksanaan kajian KPLB, berkaitan dengan isu-isu luar bandar dan hasilnya akan digunakan bagi penambahbaikan kaedah dan pendekatan dalam perancangan dan pembangunan luar bandar dan pengurusan masyarakatnya. Hasil-hasil kajian juga diterbitkan dan dijadikan bahan rujukan yang dapat membantu pihak-pihak yang berkepentingan dalam pembangunan luar bandar
Akhir kalam, harapan saya selain dari mendapatkan maklumat, laman web ini juga dapat berfungsi sebagai wadah bagi semua pihak untuk berinteraksi, berkongsi maklumat dan pendapat dalam membantu INFRA membangunkan program latihan dan penyelidikan dalam bidang pembangunan luar bandar dan memperbaiki perkhidmatan yang diberikan kepada kumpulan sasar. Dalam hal ini, INFRA sentiasa komited untuk menambah baik peranan dan fungsinya agar sentiasa releven dengan visi Luar Bandar Sejahtera bagi KPLB dan misi mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah 10 Teras Dasar Pembangunan Luar Bandar.
Sekian, terima kasih.
Pengarah INFRA

Penubuhan Institut Kemajuan Desa (INFRA) pada 1996 wajar dilihat sebagai kemuncak dan lanjutan kepada tekad dan wawasan besar Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussein yang dimulakan sejak awal 1960-an untuk membela nasib masyarakat desa menerusi strategi membangunkan kawasan luar Bandar dan memperkasa potensi warga desa. Penubuhan INFRA boleh dianggap sebagai suatu kemuncak kerana setelah sekian lama usaha berterusan membangunkan kawasan dan masyarakat luar bandar, kini mereka dibekalkan sebuah institusi latihan dan penyelidikan. Ianya juga suatu lanjutan kerana penubuhan INFRA menandakan permulaan baharu kearah pembangunan pengurusan lebih bermakna untuk masyarakat desa.
Sungguh pun penubuhan INFRA dimuktamadkan di bawah kepimpinan Dato' Annuar Musa sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, namun bibit-bibit awalnya telah disemai oleh Dato' Seri Shariff Ahmad menerusi penubuhan sebuah Institut Latihan Pengajian Desa, semasa beliau menyandang jawatan Menteri Pertanian pada lewat 1970-an. Institut ala vokasional ini kemudiannya dinamakan oleh Dato' Seri Sanusi Junid selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar sebagai institut SEDAR (Institute for Sosio-Economic Development and Attitudinal Re-orientation) pada 1980. Berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri pada 1996, Dato' Annuar Musa menggagaskan INFRA (Institute for Rural Advancement) sebuah institusi latihan dan penyelidikan luar Bandar nasional bertaraf antarabangsa.
Menerusi kertas cadangan mewujudkan Institusi Latihan Pembangunan Desa yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatan kuasa Khas bagi Mengkaji Jawatan Tertinggi (JKTT) yang dipengerusi Ketua Setiausaha Negara pada 13 Oktober 1995, keputusan dicapai untuk memperakukan penubuhan INFRAmenerusi penyusunan semula Institut SEDAR. Persetujuan Jemaah Menteri keatas perakuan JKTT pada 6 Mac 1996 menandakan rasminya penubuhan sebuah institut masyarakat desa, yang dikenali umum sebagai INFRA.
Visi
Menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang latihan dan penyelidikan luar bandar
Misi
Memperkasa institusi dan masyarakat luar bandar menerusi latihan dan penyelidikan yang berkualiti
- Melatih jurulatih pengurusan pembangunan desa dan menerusi mereka, melahirkan lebih ramai tenaga penggerak yang boleh membantu memajukan kawasan dan masyarakat desa;
- Membantu meningkatkan keupayaan petugas agensi awam, aktivis sosial dan penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai agen penyampai yang berkesan;
- Menjadi pusat rujukan dan penyelidikan, pusat data dan tenaga pemikir program pembangunan desa dan pendidikan non-formal;
- Mengarah hala tuju perubahan paradigma pengurusan pembangunan desa dalam usaha memajukan pemikiran masyarakat desa; dan kawasan serta pemikiran masyarakat desa; dan
- Menyumbang bantuan teknikal, khidmat nasihat dan latihan kepada negara luar serta mengendali kajian berkaitan luar bandar dengan kerjasama pertubuhan antarabangsa.
- Melaksanakan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada senarai kursus yang diluluskan bagi tahun semasa;
- Memaklumkan kepada pelanggan tentang perancangan dan pelaksanaan latihan sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum program bermula;
- Memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus peserta yang mengikuti program latihan berpuas hati dengan pengendalian dan penyampaian sesi latihan oleh tenaga dalaman dan luaran;
- Menyelia dan menyelaras pelaksanaan program kajian dan penyelidikan sekurang-kurangnya enam (6) kali setahun melalui Jawatankuasa Induk Kajian;
- Melaksanakan penilaian outcome pembangunan program INFRA mengikut ketetapan Panel Penilaian dan Pemantauan;
- Memastikan pelaksanaan dua (2) bengkel atau kursus untuk meningkatkan kemahiran penyelidikan;
- Menerbitkan Jurnal Penyelidikan dan Pembangunan sekali setahun;
- Memastikan sekurangnya-kurangnya 80 peratus peserta kursus berpuas hati dengan kemudahan latihan, penginapan dan sajian; dan
- Memberi maklum balas awal bagi setiap aduan dan pertanyaan dalam tempoh tiga (3) hari bekerja.
Janji | Suku Tahun Pertama (Jan-Mac) | Suku Tahun Pertama (Jan-Mac) Suku Tahun Kedua (Apr-Jun) | Suku Tahun Ketiga (Jul-Sep) | Suku Tahun Keempat (Okt-Dis) | Peratus Perkhidmatan (%) | Jumlah Keseluruhan |
---|---|---|---|---|---|---|
Melaksanakan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada senarai kursus yang diluluskan bagi tahun semasa | - | 2 kursus antarabangsa | 33 siri kursus | 15 siri kursus | 100% | 50 siri |
Memaklumkan kepada pelanggan tentang perancangan dan pelaksanaan latihan sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum program bermula | - | 2 kursus antarabangsa | 33 siri kursus | 15 siri kursus | 100% | 50 siri |
Memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus peserta yang mengikuti program latihan berpuas hati dengan pengendalian dan penyampaian sesi latihan oleh tenaga dalaman dan luaran | - | 118 peserta | 875 peserta | 750 peserta | 100% | 1723 peserta |
Menyelia dan menyelaras pelaksanaan program kajian dan penyelidikan sekurang-kurangnya enam (6) kali setahun melalui Jawatankuasa Induk Kajian | - | 1 kali mesyuarat JKKK Bil. 1/2016 | 1 kali mesyuarat JKKK Bil. 2/2016 | 1 kali mesyuarat JKKK Bil. 3/2016 | 100% | 3 kali mesyuarat |
Melaksanakan penilaian outcome pembangunan program INFRA mengikut ketetapan Panel Penilaian dan Pemantauan | - | - | 1 penilaian outcome Pembangunan | - | 100% | 1 penilaian outcome Pembangunan |
Memastikan pelaksanaan dua (2) bengkel atau kursus untuk meningkatkan kemahiran penyelidikan | - | 1 kali bengkel/kursus | - | 1 kali bengkel/kursus | 100% | 2 kali bengkel/kursus |
Menerbitkan penulisan Artikel Penyelidikan minimum satu (1) artikel berasaskan penyelidikan saintifik (ilmiah) ditulis sekali setahun | - | - | 1 penulisan Artikel Penyelidikan | - | 100% | 1 penulisan Artikel Penyelidikan |
Memastikan sekurangnya-kurangnya 80 peratus peserta kursus berpuas hati dengan kemudahan latihan, penginapan dan sajian | - | 118 peserta | 875 peserta | 750 peserta | 100% | 1723 peserta |
Memberi maklum balas awal bagi setiap aduan dan pertanyaan dalam tempoh tiga (3) hari berkerja | 28 pertanyaan diterima | 18 pertanyaan diterima | 10 pertanyaan diterima | - | 100% | 56 |
Nota: Pengemaskinian dibuat mengikut suku tahun |

Logo INFRA menggabungkan warna biru kehijau-hijauan (turquoise) dan warna merah pinang.
Jalur-jalur di bahagian atas dan bawah memberi maksud bentuk pergerakan serta melambangkan skop dan kandungan kursus bagi kumpulan sasar dari dalam dan luar negara.
Bentuk bujur melambangkan matlamat INFRA untuk membangunkan kumpulan tenaga penggerak yang mampu menguruskan program pembangunan dan berkeupayaan mengubah sikap kumpulan sasar ke arah kehidupan yang sejahtera.
Warna merah pinang mewakili jati diri INFRA sebagai sebuah institusi latihan utama pengurusan pembangunan desa yang benar-benar beriltizam untuk mengubah paradigma pemimpin-pemimpin pengurusan desa.
Warna biru kehijau-hijauan melambangkan hasrat bahawa institusi latihan desa, INFRA berazam memperkukuhkan institusi keluarga sejahtera dan membangunkan masyarakat yang berjati diri yang mampu melahirkan manusia cemerlang.